Rabu, 15 Oktober 2008

KEPENTINGAN PENGUASAAN BIOTEKNOLOGI DI KALANGAN MUSLIM

Peringatan: Artikel ini adalah karya asli penulis blog: Anda dinasihatkan supaya membuat 'citation' dengan baik bagi mengelakkan plagiarisme...terima kasih atas kerjasama.

Apabila meneliti firman Allah di dalam Kitab-Nya yang Mulia, dalam surah Al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud; “Katakanlah: Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”[1] Muslim yang celik hatinya akan mengagumi kebesaran Allah dan keluasan ilmu-Nya. Keluasan ilmu Allah adalah tidak terbatas sesuai dengan sifat-Nya Yang Maha Mengetahui. Para cendikiawan telah mendefinisikan ilmu dengan pelbagai definisi dan juga mengkategorikannya kepada beberapa bahagian, namun kesemua ilmu yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan adalah ilmu yang datang dari Allah yang telah mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya[2].
Walaupun perkataan ‘bioteknologi’ itu adalah sesuatu yang hanya muncul dalam kamus hidup manusia pada tahun 1919
[3], bioteknologi juga adalah salah satu daripada ilmu Allah yang diajarkan kepada manusia. Apabila perkataan ‘bioteknologi’ disebut, apakah yang terbayang di fikiran anda? Pasti anda akan membayangkan kambing biri-biri ‘Dolly’ yang mencetuskan kontroversi pada tahun 1997? Atau mungkin anda terfikirkan tomato ‘Flavr Savr’ yang dihasilkan oleh Syarikat Calgene? Apakah sebenarnya bioteknologi?
Definisi bioteknologi menurut Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) ialah: “The application of science and technology to living organisms, as well as parts, products and models thereof, to alter living or nonliving materials for the production of knowledge, goods and services.
[4]
Terjemahan: “Aplikasi sains dan teknologi ke atas organisma-organisma hidup, sama ada bahagian-bahagian, produk-produk dan model-model daripadanya, untuk mengubah bahan hidup dan bahan bukan hidup untuk penghasilan ilmu, barangan dan perkhidmatan.”
Walaupun perkataan bioteknologi mula digunakan dalam bahan cetak pada tahun 1919
[5], percaya atau tidak ia sebenarnya sudah lama wujud dalam tamadun manusia. Oleh itu, bioteknologi dikategorikan kepada bioteknologi klasik dan bioteknologi moden. Bioteknologi klasik merangkumi teknik-teknik yang digunakan dalam pembiakbakaan dan amalan pertanian secara tradisional bagi menghasilkan baka yang terbaik, dan juga penggunaan mikroorganisma untuk penghasilan makanan seperti roti, keju, bir dan yogurt[6]. Manakala bioteknologi moden pula melibatkan aplikasi teknik-teknik asid nukleik in vitro termasuk rekombinan DNA dan suntikan langsung asid nukleik ke dalam sel-sel atau organel-organel, atau pertaupan sel-sel melangkaui keluarga taksonomi[7].
Bidang bioteknologi moden adalah sangat luas. Aplikasinya tidak hanya terhad kepada bidang makanan dan pertanian sahaja, malah merangkumi bidang industri, persekitaran, dan kesihatan.
[8] Sebagi contoh aplikasi bioteknologi dalam bidang kesihatan iaitu melalui kejuruteraan protein, protein Genencor iaitu protein yang boleh memusnahkan tumor telah dihasilkan. Ia boleh ber fungsi seperti vaksin dengan melindungi sistem imun manusia daripada virus dan kanser.[9]
Kebaikan penggunaan bioteknologi juga sangat banyak. Sebagai contoh dalam bidang pertanian, tanaman yang dapat dihasilkan boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu: a) mempunyai ciri-ciri yang lebih baik seperti rintang herbisid, serangga serta virus dan tahan kepada persekitaran yang melampau seperti kemarau; b) mempunyai nilai tambah seperti jagung yang mempunyai protein lisin yang banyak untuk penghasilan makanan ternakan; c) tanaman yang menghasilkan bahan farmaseutikal.
[10] Tanaman hasil bioteknologi ini akan dapat meningkatkan produktiviti dan seterusnya menjana ekonomi sesebuah negara.
Oleh itu bidang bioteknologi menjadi tumpuan dan fokus utama kebanyakan negara dalam menjana pembangunan ekonomi yang mapan. Penyelidikan bioteknologi di kebanyakan negara Islam telah berjalan namun ia masih lagi berada di tahap yang rendah. Ini adalah disebabkan kekurangan infrastruktur, tenaga mahir dan juga kekurangan komitmen dari kerajaan negara tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa negara-negara Islam yang menunjukkan kesungguhan dalam membangunkan bidang bioteknologi seperti Mesir, Malaysia, Turki dan Pakistan.
[11] Di dalam Rancangan Malaysia ke-9 telah dimuatkan satu bab khusus bagi membincangkan pembangunan bioteknologi di Malaysia iaitu bab 6 yang bertajuk ‘Penghasilan Bioteknologi untuk Kekayaan’.[12] Jika anda seorang yang mengikuti perkembangan terkini bioteknologi, sudah pasti banyak lagi contoh produk bioteknologi yang anda ketahui. Sama ada anda sedar atau tidak, hampir kesemua produk bioteknologi terutama makanan terubahsuai genetik (GM food) yang dikomersialkan mencetuskan kontroversi, perdebatan global yang masih lagi berterusan sehingga hari ini. Perdebatan ini yang melibatkan isu-isu etika telah menyebabkan para saintis, pengeluar makanan, pengguna, dan juga kumpulan yang memperjuangkan kepentingan awam berpecah dua kepada kumpulan yang menyokong dan juga yang menentang[13].
Pelbagai buku telah dihasilkan serta persidangan dan seminar telah diadakan oleh pihak yang menyokong perlaksanaan bioteknologi, begitu juga dengan pihak yang menentang. Dalam isu makanan terubahsuai secara genetik (GM food), pihak yang menentang penghasilan makanan GM ialah kumpulan ‘Greenpeace’, ‘Friends of the Earth’, ‘Institute of Science in Society’, pihak saintis seperti Dr. Mae-Wan Ho, Dr. Richard Lacey, Prof David Schubert dan Dr. Philip Regal.
[14] Di Malaysia pula, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) adalah antara yang menentang penghasilan makanan GM. Seperti kumpulan penentang makanan GM, CAP menentang penghasilan makanan GM disebabkan penanaman tanaman terubahsuai genetik menimbulkan masalah terutamanya kepada persekitaran dan juga kesihatan manusia[15]. Kejuruteraan genetik boleh mendatangkan kebaikan kepada persekitaran, namun menurut Paoletti dan Pimentel tanaman terubahsuai secara genetik iaitu yang mempunyai ciri rintang herbisid dan rintang Bt mempunyai kesan buruk ke atas persekitaran[16].
Perdebatan mengenai isu makanan GM ini memang panjang dan memerlukan huraian yang jelas dari perspektif Islam. Muslim sepatutnya mengetahui apakah pendirian Islam mengenai hal ini dan bagaimanakah Islam menangani isu makanan GM ini dengan baik? Namun, penulis tidak berhasrat untuk menjelaskan pendirian Islam mengenai hal ini, apa yang menjadi objektif utama rencana ini ditulis ialah menghuraikan kepentingan penguasaan ilmu bioteknologi di kalangan Muslim.
Apakah pandangan Islam terhadap bioteknologi? Memandangkan bioteknologi telah menimbulkan pelbagai kontroversi, adakah Muslim patut menghindari dan mengelak daripada mempelajari ilmu ini? Seyyed Hossein Nasr di dalam satu temuramah yang dimuatkan dalam jurnal ‘Islam and Science’ telah menyebut bahawa bidang kejuruteraan genetik dalam pertanian adalah membahayakan dan patut dielakkan jika Muslim mahu memelihara keharmonian alam sekeliling. Bagi beliau, Muslim sepatutnya menjalankan pertanian secara tradisional dan mengelak daripada terlibat dengan perniagaan pertanian berkaitan kejuruteraan genetik yang tidak menjanjikan bekalan makanan yang mencukupi sebagaimana yang diwar-warkan
[17].
Walau bagaimanapun sarjana Muslim terkenal, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ketika menjawab soalan mengenai pandangan Islam terhadap kejuruteraan genetik, menjelaskan bahawa Islam mengalu-alukan bidang kejuruteraan genetik selagi mana ia digunakan untuk kemaslahatan ummah. Hal ini adalah demikian kerana bidang kejuruteraan genetik mempunyai banyak kebaikan seperti merawat penyakit genetik.
[18]
Tidak dapat dinafikan bahawa bioteknologi adalah suatu ilmu yang penting pada masa kini, maka adalah perlu bagi Muslim untuk menguasainya. Walaupun bioteknologi sering dikaitkan dengan bahaya dan risiko keselamatan dan kesihatan, namun menurut Shaikh Mohammed Saifuddeen Sheikh Mohamed Salleh, Muslim patut mempelajari dan menguasai bidang bioteknologi supaya dapat mendapat manfaat dan pada masa yang sama bersedia menghadapi bahaya dan risiko yang mungkin timbul. Pada pendapat penulis, dengan kehadiran Muslim yang menjadi pakar bioteknologi, mereka akan dapat membantu umat Islam memahami bioteknologi dengan baik dan menjadi rujukan bagi menjelaskan isu-isu bioteknologi yang timbul berkaitan agama.
Islam tidak pernah menolak sains. Walau bagaimanapun manusia perlu mengaplikasikan sains dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah; iaitu dengan tujuan kemaslahatan ummah dan melakukan kebaikan dan mencegah keburukan
[19]. Ilmu sains juga boleh membantu manusia memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang murni yang dituntut oleh agama. Mesej Islam kepada umat manusia adalah jelas; Manusia hendaklah memperalatkan sains bagi tujuan menegakkan kebenaran dan keadilan, mewujudkan kesejahteraan masyarakat, memakmurkan masyarakat dengan perkara-perkara makruf dan mencegah kemungkaran[20].
Ilmu yang berguna dalam Islam tidak terbatas kepada ilmu yang boleh memenuhi keperluan kebendaan sahaja. Ia dianggap berguna kerana boleh dimanfaatkan oleh manusia dalam pelbagai segi
[21]. Dunia adalah jambatan ke akhirat, maka kegunaan ilmu dunia tidak terbatas untuk duniawi sahaja. Ilmu yang berguna menyumbang kepada kekuatan iman, keyakinan kerohanian manusia, terhadap keesaan Tuhan dan kepastian kehidupan akhirat[22].
Bioteknologi adalah ilmu yang berguna yang manusia digunakan untuk melaksana amanahnya di bumi. Bahkan bioteknologi menurut Zainal Abidin boleh dianggap sebagai anugerah Allah SWT bagi manusia memperbaiki dan meningkatkan kualiti hidup dan umat manusia keseluruhannya
[23]. Bioteknologi seperti ilmu-ilmu sains yang lain dapat menjadikan Muslim menerima hakikat kewujudan Tuhan Yang Maha Alim dan memperkukuhkan keimanan yang wahyu adalah sumber tertinggi ilmu untuk manusia. Selain itu melalui bioteknologi, manusia mengenali Tuhan penciptanya, dirinya sebagai khalifah dan hamba Tuhan[24]. Penyelidikan terhadap organisma hidup yang dijalankan oleh ahli bioteknologi pasti akan menyebabkan mereka akur akan kesempurnaan makhluk yang Allah ciptakan seperti yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:
“Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sesuatu yang tidak seimbang; Maka ulangilah pandanganmu dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?” (Surah Al-Mulk ayat 3)

Selain itu, ahli bioteknologi juga dapat meningkatkan keimanannya terhadap Allah melalui kajian terhadap sesuatu organisma hidup dan juga keperluannya sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
“(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imran ayat 191)

Menurut Prof Emeritus Osman Bakar, setiap ilmu sains itu memerlukan prinsip-prinsip etika ilmu yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat
[25]. Bioteknologi juga memerlukan panduan etika yang disebut sebagai bioetika[26], yang boleh memandu ahli bioteknologi khususnya dan masyarakat umumnya ke arah pengaplikasian bioteknologi yang berhemah. Bioetika yang juga dirujuk sebagai batasan aplikasi bioteknologi itu perlu ada agar tidak membawa bencana kepada seluruh umat manusia.[27] Hal ini adalah demikian kerana manusia perlu berwaspada dengan kemungkinan penyalahgunaan dan bahaya bidang bioteknologi yang didorong oleh musuh utama manusia iaitu syaitan yang menyesatkan manusia, seperti yang dinyatakan menerusi Surah An-Nisa’ ayat 119 yang bermaksud:[28]
“Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”
Kesimpulannya, penguasaan dan pemahaman bioteknologi adalah penting di kalangan Muslim memandangkan bidang ini mendatangkan kebaikan kepada Muslim dari segi duniawi dan ukhrawi. Namun perlu ditegaskan bahawa, Muslim yang menceburi bidang bioteknologi perlu memahami dengan jelas peranan mereka sebagai khalifah Allah. Pengajaran ilmu bioteknologi di semua peringkat pengajian terutama pengajian tinggi pula perlu disepadukan dengan ilmu bioetika terutama bioetika Islam. Wallahu A’lam.






Rujukan:
1. Al-Hayani, F. A. (2007). Biomedical ethics: Muslim perspectives on genetic modification. Zygon, 42 (1) 153-162 m/s 159.
2. Bakar, O. (1995). Beberapa aspek falsafah ilmu: Konsep, definisi, pengelasan dan penggunaan. Kesturi, 5 (2), 7-25.
3. Consumers Association of Penang. (2006). Halal Haram: An important book for Muslim Consumers. Penang: Consumers Association of Penang.FAO (Food and Agriculture Organization). (2001). Genetically modified organisms, consumers, food safety and the environment. Rome: Food and Agriculture Organization of The United Nations.
4. El-Muhammady, M. U. (2005). Perspektif Islam terhadap sempadan bioteknologi. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.Hashim, M. dan Abu Bakar U.K (2005). Pengenalan kepada bioteknologi pemakanan dan pertanian. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
5. How Does Islam View Genetic Engineering? (2006). Diperoleh November 8, 2007 dari http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1118742803355&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/Page/FatwaCounselE
6. International Food Informationn Council Foundation (IFIC). (n.d). Backgrounder: Food biotechnology. IFIC Foundation Media Guide on Food Safety and Nutrition. Diperoleh Nov 13, 2007 dari
http://ific.org/.
7. Islamic Education, Scientific and Cultural Organization (ISESCO). (n.d). Strategy for the development of biotechnology in the Islamic world. Diperoleh November 12, 2007 dari
www.isesco.org.ma/STRATEGIES/ANGLAIS/Biotechnology.pdf
8. OECD. (2000). Report of the task force for the safety of novel foods and feeds. Paris: Organisation For Economic Co-Operation And Development.
9. Paoletti, M.G dan Pimentel, D (2000). Environmental risks of pesticides versus genetic engineering for agricultural pest control. Journal of Agricultural and Environmental Ethics, 12, 279-303.
10. Reich W.T (1995). Encyclopedia of bioethics. New York: Simon and Schuster Macmillan.
11. Secretariat of the Convention on Biological Diversity. (2000). Cartagena Protocol on biosafety to the convention on biological diversity: Text and annexes. Montreal: Secretariat of the Convention on Biological Diversity. Diperoleh Sep 15, 2008 dari
http://www.cbd.int/doc/legal/cartagena-protocol-en.pdf
12. Nasr, S.H. (2005). Islam, Muslims and modern technology. Islam & science, 3 (2) 109-126
13. United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD). (2004). The biotechnology promise: Capacity-building for participation of developing countries in the bioeconomy. New York and Geneva: United Nations
14. van Beuzekom, B. dan Arundel, A. (2006). OECD biotechnology statistics-2006. Paris: Organisation For Economic Co-Operation And Development. Diperoleh Sep 15, 2008 dari
http://www.oecd.org/dataoecd/51/59/36760212.pdf.
15. Zainal Abidin, A.H. (2005). Ulama dan bioteknologi. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
16.
http://www.biotechcorp.com.my/biotechinmalaysia/ninth_msia_plan.htm
17.
http://www.saynotogmos.org/
18.
http://www.islam.gov.my/dircportal/quranview.htm
[1] http://www.islam.gov.my/dircportal/quranview.htm
[2] Al-Quran; Surah Al-Alaaq ayat 5.
[3] Istilah bioteknologi pertama kali digunakan dalam bahan cetak pada tahun 1919 bagi membezakan proses kimia (pengeluaran) daripada proses yang menggunakan organisma (seperti mikrob dalam penapaian). Lihat Hashim, M. dan Abu Bakar U.K (2005). Pengenalan kepada bioteknologi pemakanan dan pertanian. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia, m/s 23.
[4] van Beuzekom, B. dan Arundel, A. (2006). OECD biotechnology statistics-2006. Paris: Organisation For Economic Co-Operation And Development. Diperoleh Sep 15, 2008 dari http://www.oecd.org/dataoecd/51/59/36760212.pdf. m/s 7.
[5] Hashim, M. dan Abu Bakar U.K (2005). Pengenalan kepada bioteknologi pemakanan dan pertanian. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.m/s 23.
[6] OECD. (2000). Report of the task force for the safety of novel foods and feeds. Paris: Organisation For Economic Co-Operation And Development, m/s 8.
[7] Secretariat of the Convention on Biological Diversity. (2000). Cartagena Protocol on biosafety to the convention on biological diversity: Text and annexes. Montreal: Secretariat of the Convention on Biological Diversity. m/s 4. Diperoleh Sep 15, 2008 dari http://www.cbd.int/doc/legal/cartagena-protocol-en.pdf
[8] Untuk bacaan lanjut sila rujuk United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD). (2004). The biotechnology promise: Capacity-building for participation of developing countries in the bioeconomy. New York and Geneva: United Nations.
[9] United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD). (2004). The biotechnology promise: Capacity-building for participation of developing countries in the bioeconomy. New York and Geneva: United Nations m/s 9-10.
[10] International Food Informationn Council Foundation (IFIC). (n.d). Backgrounder: Food biotechnology. IFIC Foundation Media Guide on Food Safety and Nutrition. Diperoleh Nov 13, 2007dari http://ific.org/. m/s 1-2.
[11] Islamic Education, Scientific and Cultural Organization (ISESCO). (n.d). Strategy for the development of biotechnology in the Islamic world. Diperoleh November 12, 2007 dari www.isesco.org.ma/STRATEGIES/ANGLAIS/Biotechnology.pdf m/s 5.
[12] http://www.biotechcorp.com.my/biotechinmalaysia/ninth_msia_plan.htm diperoleh Sep 7 2008.
[13] FAO (Food and Agriculture Organization). (2001). Genetically modified organisms, consumers, food safety and the environment. Rome: Food and Agriculture Organization of The United Nations. m/s 4.
[14] http://www.saynotogmos.org/ diperoleh Nov 18, 2007.
[15] Lihat Bab 24; ‘Genetically Modified food’. Dlm. Consumers Association of Penang. (2006). Halal Haram: An important book for Muslim Consumers. Penang: Consumers Association of Penang. m/s 143-151.
[16] Paoletti, M.G dan Pimentel, D (2000). Environmental risks of pesticides versus genetic engineering for agricultural pest control. Journal of Agricultural and Environmental Ethics, 12, 279-303. m/s 296.
[17] Nasr, S.H. (2005). Islam, Muslims and modern technology. Islam & science, 3 (2) 109-126, m/s 117.
[18] How Does Islam View Genetic Engineering? (2006). Diperoleh November 8, 2007 dari http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1118742803355&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/Page/FatwaCounselE
[19] Al-Hayani, F. A. (2007). Biomedical ethics: Muslim perspectives on genetic modification. Zygon, 42 (1) 153-162 m/s 159.
[20] Bakar, O. (1995). Beberapa aspek falsafah ilmu: Konsep, definisi, pengelasan dan penggunaan. Kesturi, 5 (2), 7-25. m/s 24-25.
[21] Ibid., m/s 21-22.
[22] Ibid., m/s 24.
[23] Zainal Abidin, A.H. (2005). Ulama dan bioteknologi. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia. m/s 4.
[24] Op. cit., m/s 15.
[25] Ibid., m/s 25.
[26] Bioetika ialah “The systematic study of the moral dimensions-including moral visions, decisions, conduct and policies-of the life sciences and health care, employing a variety of ethical methodologies in an interdisciplinary setting.” – Reich W.T (1995). Encyclopedia of bioethics. New York: Simon and Schuster Macmillan. p. xxii.
[27] Zainal Abidin, A.H. (2005). Ulama dan bioteknologi. Dlm. Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia. m/s 4.
[28] El-Muhammady, M. U. (2005). Perspektif Islam terhadap sempadan bioteknologi. Dlm. Shaikh Mohd Salleh, S.M.S, Abd. Majid, W. R dan Sobian, A. (Ed.), Sempadan bioteknologi menurut perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia. m/s 16-17.

Tiada ulasan: